Wednesday, August 8, 2012

Iktikaf


Diriwayatkan, Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan iktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan ini sehinggalah baginda wafat. Isteri-isteri baginda juga turut beriktikaf bersama-samanya ketika baginda hidup dan selepas baginda wafat.

.

Allah berfirman:

76:26

“Dan pada sebahagian daripada malam, maka sujudlah kepada-Nya (dengan mengerjakan solat) dan bertasbihlah memuji-Nya pada bahagian yang panjang di malam hari.” (al-Insan: 26)

.

Iktikaf hendaklah dilakukan di masjid atau surau yang didirikan solat Jumaat padanya. Sudah tentu apabila kita beriktikaf untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, kita akan melakukan sesuatu ibadat.

.

Perkara yang sunat dilakukan ialah berqiamullail iaitu membanyakkan ibadat sunat seperti solat tahajud, hajat, taubat, tasbih, mutlak yang diakhiri dengan solat sunat witir. Selain itu, membaca al-Quran,.juga boleh bertasbih, bertahmid, beristighfar, berselawat dan berdoa.

.

.

IKTIKAF

.

1. DEFINISI IKTIKAF

Iktikaf bermaksud berhenti dalam masjid pada suatu masa yang tertentu untuk mengerjakan amal ibadah sunat yang dituntut oleh Allah SWT. Iktikaf bertujuan mendampingi masjid untuk mentaati Allah. Ringkasnya Iktikaf bermaksud bertafakur dalam masjid mencari keredaan Allah S.W.T.

.

Selama kita beriktikaf dan menanti ke solat seterusnya, ia dikira sebagai suatu ibadat dan didoakan oleh para malaikat. Sabda Rasulullah SAW.: “Para Malaikat sentiasa mendoakan seseorang kamu, selagi ia tetap di tempat solatnya, sehingga wuduknya batal ataupun ia bercakap.” Para Malaikat itu memohon: “Ya Allah! Rahmatilah dia; Ya Allah! Kasihanilah dia; Ya Allah! Ampunilah dosanya”.

.

Hukum beriktikaf adalah sunat muakkad, terutama pada 10 terakhir Ramadan.

.

.

2. JENIS-JENIS IKTIKAF

Iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk; pertama sunat, dan kedua wajib.

.

1. Iktikaf sunat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata untuk bertaqorrub kepada Allah SWT seperti; iktikaf 10 hari terakhir bulan Ramadan.

2. Iktikaf wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti: “Kalau Allah SWT menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf.”

.

.

3. WAKTU IKTIKAF

Iktikaf boleh dilakukan sepanjang masa dan waktu. Iktikaf sunat tidak ada batasan waktu tertentu, bila-bila saja pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat.Masanya boleh satu hari tanpa malamnya atau satu malam tanpa siang.

Ya’la bin Umayyah berkata: ” Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tak lain hanya untuk beriktikaf.”

Iktikaf wajib bergantung pada berapa lama waktu/masa yang dinazarkan,

.

.

4. SYARAT SAH IKTIKAF

  1. Islam,
  2. Berakal,
  3. Tidak berjunub,
  4. Bersih dari haid dan nifas bagi perempuan.
  5. Berniat tinggal (duduk) di dalam masjid; Ibadah iktikaf adalah tidak sah melainkan dengan berniat.

نَوَيْتُ اْلإِعْتِكَافَ فِىْ هَذَا الْمَسْجِدِ سُنَّةَ لِلَّهِ تَعَالَى.

Daku berniat iktikaf dalam masjid ini kerana Allah Ta’ala.

.

.

5. RUKUN IKTIKAF

1. Niat:

Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya sesuatu amalan itu berdasarkan niat.” (HR: Bukhari & Muslim r.a.)

.

Firman Allah SWT;

98:5

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah denganmengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”

(QS. Al Bayyinah : 5),

.

.

2. Duduk / diam di masjid:

Bertujuan membersihkan hati dengan mengingati Allah SWT dan taqarrub (berdamping) dengan Yang Maha Pencipta dengan hati yang ikhlas.

.

Firman Allah SWT;

2:187

“Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”

(QS. Al Baqarah : 187)

.

.

6. TEMPAT IKTIKAF

Iktikaf boleh dilakukan sama ada di masjid, surau atau mushalla, kerana semuanya merupakan tempat beribadah atau ‘Rumah Allah’. Fungsi tempat-tempat ini sama saja iaitu sebagai tempat untuk sujud (masjid) atau sebagai tempat solat (mushalla) kepada Allah SWT.

.

  1. Lebih afdal beriktikaf di tiga masjid; Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.
  2. Di masjid Jamik (diguna untuk solat Jumaat), sehingga orang yang beriktikaf tidak perlu meninggalkan tempat iktikafnya menuju masjid lain untuk solat Jumaat.
  3. Di setiap masjid yang diguna untuk solat berjemaah lima waktu, bagi menghindari seringnya keluar masjid dan untuk menjaga pelaksanaan solat jemaah setiap waktu.

.

.

7. AMALAN SEWAKTU IKTIKAF

Perkara yang sunat dilakukan:

  1. Mendirikan solat-solat sunat.
  2. Menghadiri tazkirah, majlis ilmu, mengulangkaji kitab hadith, tafsir, sirah nabi dan sebagainya.
  3. Memuhasabah diri terhadap perkara-perkara yang lalu.
  4. Memperbanyakkan kegiatan taqarrub seperti:
    1. Membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran,
    2. Bertasbih, tahmid, takbir dan tahlil,
    3. Istighfar,
    4. Berselawat dan berdoa,
    5. Menunaikan solat sunat.

.

.

8. ADAB IKTIKAF

1. Sebelum ke masjid:

  1. Mandi,
  2. Memotong rambut,misai dan kuku,
  3. Memakai pakaian yang bersih dan haruman.

.

2. Di masjid

  1. Memberi salam kepada ahli masjid,
  2. Solat sunat Tahiyyatul Masjid,
  3. Berniat iktikaf,
  4. Melakukan ibadah,
  5. Menjaga kelakuan dan tatatertib masjid.

.

3. Perkara yang harus dilakukan:

Perkara yang dibolehkan bagi ‘mutakif’ (orang yang beriktikaf).

  1. Keluar daripada masjid kerana hajat dan dharuriah (darurat).
  2. Keluar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saudara mara.
  3. Menziarahi kematian atau orang sakit.
  4. Membersihkan tubuh dari kotoran dan bau badan.
  5. Dibolehkan makan minum, tidur, melakukan transaksi, perjanjian jual beli, akad nikah dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid.
  6. Keluar dari tempat iktikaf kerana keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil, makan, minum (jika tidak ada yang menghantarkannya), dan segala sesuatu yang tidak mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali setelah menyelesaikan keperluannya .

Adapun bagi orang yang iktikaf nazar maka tidak dibenarkan menziarahi orang sakit, menjenguk jenazah dan bertakziah.

.

.

9. BATAL ITIKAF

Perkara yang membatalkan iktikaf:

  1. Hilang akal kerana gila atau mabuk.
  2. Datang haid atau nifas.
  3. Murtad.
  4. Berjimak.
  5. Keluar masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar, kerana meninggalkan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid.

.

.

10. IKTIKAF WANITA

Iktikaf wanita bergantung kepada izin suami.

  1. Iktikaf sunat tidak wajib ke atas isteri sehingga suami mempunyai hak untuk melarangnnya.
  2. Iktikaf nazar yang mendapat kebenaran suami pada waktu tertentu, maka isteri boleh masuk ke tempat iktikaf tanpa perlu dapatkan izin baru atau khusus dari suami.
  3. Jika iktikaf nazar mendapat kebenaran suami pada tanpa waktu tertentu, maka isteri tidak boleh memulakan waktu iktikaf kecuali dengan izin suaminya.
  4. Pendapat kuat para ulamak; Apabila suami memberikan izin pada isteri melakukan iktikaf, maka dia tidak berhak menarik semula kebenaran tersebut baik iktikaf sunat atau wajib.
  5. Menurut Mazhab Hanafi : wanita boleh melakukan iktikaf di masjid manapun sebagaimana dia dibolehkan untuk melakukan iktikaf di tempat solat rumahnya. Namun, dia tidak dibolehkan melakukan iktikaf di rumahnya di luar tempat yang disediakan untuk melakukan solat.
  6. Mazhab Hambali dan Syafie pula : Wanita dibolehkan untuk melakukan iktikaf di masjid yang tidak digunakan untuk melakukan solat jamaah. Mereka tidak boleh melakukan iktikaf di rumahnya kerana ia adalah ibadat yang dikhususkan dilakukan di masjid.
  7. Pendapat yang kuat adalah pandangan Hanafi. Wanita boleh beriktikaf di tempat yang khusus solat di dalam rumahnya.

.

.

11. IKTIKAF NAZAR

  1. Jika seorang bernazar untuk beriktikaf pada tempoh tertentu secara berturut-turut maka dia tidak boleh keluar dari masjid kecuali dengan tujuan tertentu.
  2. Sekiranya keluar tanpa keuzuran untuk perkara yang bukan dharusi maka hukumnya haram, iktikafnya terputus dan wajib memulakan iktikaf baru.
  3. Sekiranya dia bernazar untuk iktikaf dengan puasa maka dia mesti melakukannya dan ia adalah paling baik baginya.
  4. Jika dia terbatal, maka diwajibkan dia menyempurnakan bilangan hari iktikaf yang berbaki . (iktikaf yang tidak disyaratkan secara berturut-turut beberapa hari).
  5. Jika dia mensyaratkannya secara berturut-turut, maka dia harus melakukannya sekaligus secara berturut-turut.

.

.

12. ITIKAF LAILATUL-QADAR

Itikaf ini dikenali juga sebagai ‘Iktikaf Asyrul-Awahir’. Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW. mengajak isteri dan keluarga serta para sahabat Baginda menghidupkan malam dan mengisinya dengan pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.

.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah dekati (jimak) mereka (isteri kamu) dalam keadaan kamu beriktikaf di dalam masjid.” (Al-Baqarah: 187)

.

Iktikaf menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.

Daripada Aishah r.a bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir dari Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan isteri-isteri baginda.. ( muttafaqun alaih)

Daripada Aishah r.a telah berkata : “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan)” . ( Muttafaqun alaih)

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : “Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan baginda”. ( Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah).

.

.

13. WAKTU IKTIKAF LAILATUL-QADAR

a. Waktu bermula iktikaf:

Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjd sebelum terbenam matahari kedua puluh Ramadhan.

.

b. Waktu akhir iktikaf:

Waktu tamat iktikaf ialah selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan.

.

.

14, HIKMAH IKTIKAF

  1. Dapat melihat kekurangan dan kelemahan diri.
  2. Meningkatkan displin dan tahap kesabaran diri.
  3. Bersemangat untuk memperbaiki diri.
  4. Meningkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan,
  5. Memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. dan manusia.

.

.

Apabila Allah SWT memberi peluang berada di bulan Ramadhan, ada sesuatu yang ingin diberikan kepada kita. Semoga kita sentiasa dapat mengabdikan diri secara khusus kepada Yang Maha Khaliq dalam bulan kesabaran ini. Amin!

No comments:

Post a Comment