Sunday, April 3, 2011

Pengenalan Ilmu Hadis (Ringkasan Mustalah Hadis)

(Rujukan utama kupasan ini adalah daripada Mastika Hadis Rasulullah saw. karangan Sheikh Abdullah ibn Muhammad Basmeih (1988).

Dari Abi Bakrah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir (mendengar hadis ku) menyampaikannya kepada orang-orang tidak hadir kerana sesungguhnya diharap orang yang disampaikan hadis itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham daripada yang menyampaikannya."

Ta'rif hadis Nabi dan Hadis Qudsi

Hadis Nabi ialah berita-berita sabda Nabi s.a.w. , perbuatan dan takrir baginda (ketiadaan larangan daripada baginda) juga sifat tubuh badan dan keperibadian Baginda.
Hadis qudsi pula adalah berita firman Allah yang disampaikan erti maksudnya oleh Rasulullah s.a.w. dengan susun kata Baginda sendiri. Dengan ini hadis Qudsi berbeza dengan kalimah Al-Quran di mana lafaz kalimah dan susun katanya diturunkan dari Allah kepada Nabi untuk disampaikan kepada umat Baginda.

Sanad Hadis

Sanad ialah salasilah atau pertalian yang terdiri daripada beberapa orang rawi, satu demi satu, bermula daripada yang mengumpulkan hadis sehingga kepada sahabat yang mendengar sendiri hadis tersebut daripada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah saw. bersabda “Semoga Allah memberi nikmat kepada orang yang mendengar sabdaku, kemudian dia menghafalkannya dan menyampaikannya pada yang lain. Betapa banyak orang yang menyampaikan hadis, namun dia tidak memahaminya. Terkadang pula orang yang menyampaikan hadis menyampaikan kepada orang yang lebih faham darinya.” (HR.  Abu Daud, Ibnu Majah dan Ath Thobroni).


Sanad ini adalah berikutan antara sahabat-sahabat dengan pengumpul hadis ada diselangi lapisan manusia. Maka dengan melihat kepada keadaan sanad serta keadaan tiap-tiap perawi, maka hadis boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian:

1. Hadis mutawwatir

Hadis mutawwatir adalah nas hadis yang diriwayatkan oleh ramai bilangan perawi pada setiap lapisan sanadnya, dan telah pasti dan yakin bahawa perawi tersebut tidak bermuafakat berdusta tentangnya. Ini kerana mustahil terdapat sekumpulan periwayat dengan jumlah yang besar melakukan dusta.

Hadis mutawwatir  ini diterima sebagai hujjah, tidak harus ditolak dan tidak harus diingkari.

2. Hadis sahih

Hadis yang dikategorikan sebagai hadis sahih seharusnya cukup akan lima syarat berikut:

a. Sanadnya bersambung dari awal sehingga akhir, dan wujudnya ikatan ilmu iaitu adanya pertemuan di antara al Lāhiq dengan al Sābiq dan tidak wujud penghalang di antara keduanya daripada bertemu sama ada dari segi masa atau tempat.

b. Perawinya bersifat adil iaitu orang yang dapat menguasai dirinya untuk membiasakan diri dengan taqwa dan menjauhi perkara-perkara fasiq dan bid’ah. Dia menepati ciri – ciri berikut ;

- Muslim.
- Baligh.
- Berakal.
- Tidak fasiq iaitu tidak melakukan dosa besar atau berterusan dalam melakukan dosa kecil.
- Menjaga maruah seperti tidak bergaul dengan orang-orang yang rendah maruahnya, tidak keterlaluan dalam bergurau senda dan tidak membuang air kecil di tepi jalan.

c. Perawinya bersifat dhabit iaitu orang yang tepat hafazannya, selamat dari kesalahan atau ragu-ragu dan berkemampuan untuk menghadirkan apa yang dihafalnya apabila diminta pada bila – bila masa. Dhabit terbahagi kepada dua iaitu Dhābit Sodri dan Dhābit Kitabi.

Dhābit Sodri – Perawi yang menghafaz apa yang didengarnya dan mampu untuk memberitahu apa yang didengar dan dihafalnya sebagaimana dia mendengarnya pada bila-bila masa.

Dhabit Kitabi – Perawi yang benar-benar menjaga catatannya daripada hilang, dicuri, diubah atau diseleweng bermula dari saat dia mencatatnya sehinggalah dia diminta untuk mengemukakan catatannya.

d. Terselamat daripada syaz iaitu tidak bertentangan dengan riwayat lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah. Hadith syaz ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah tetapi bertentangan dengan hadith lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah atau lebih ramai, dan tidak dikumpulkan.

e. Terselamat daripada kecacatan (illat) iaitu sebarang kecacatan yang boleh menghalang sesebuah hadith itu daripada mencapai darjat sahih seperti hadith yang terkandung dalam sanadnya seorang yang fasiq.


Hadith Sahih Li Zaatihi:

Perkataan Sahih adalah lawan kepada perkataan sakit.

Dari sudut istilah adalah hadis yang bersambung sanadnya melalui pembawakan orang yang kuat hafalan dan adil serta meriwayatkan daripada org yang kuat hafalan dan adil sehinggalah ke akhirnya tanpa terdapat syuzuz iaitu keganjilan dan tanpa ada illat iaitu kecacatan.


3. Sahih Li Ghairihi atau dinamakan juga Hasan Li Zaatihi

Hadis hasan sama dengan syarat-syarat hadis sahih, namun yang membezakan adalah sifat adil dan sifat dhabit yang tidak cukup penuh.

Apabila ianya diriwayatkan melalui satu atau beberapa cara yang lain maka ianya dibantu oleh suatu kekuatan pada dua bentuk:

Pertama: Riwayatnya adalah melalui perawi-perawi yang masyhur dgn kebenaran dan penjagaan rahsia sekalipun berkurangan kekuatan hafalan mereka ataupun tidak mencapai taraf ahli Hafaz yang mahir dari kalangan perawi-perawi Hadis Sahih.

Kedua: Riwayatnya adalah melalui cara yang lain di mana dengan cara ini diperolehi satu kekuatan yang dapat menggantikan apa yang hilang pada kesempurnaan kekuatan hafalan dan dapat menaikkan taraf dari taraf Hasan kepada taraf Sahih, cuma ianya bukan Li Zaatihi, bahkan ianya dianggap Li Ghairihi.




Hukum hadis sahih:

1- Hadis tersebut adalah sahih dan wajib membuat hukum dengannya apabila terdapat di dlm kedua-dua kitab sahih Bukhari dan Muslim, sebagaimana pendapat yg dipilih oleh Ibnu Solah serta menetapkan kesahihannya.

2- Wajib beramal dengan setiap Hadis sekalipun tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim, sebagaimana pendapat Ibnu Hajar di dlm huraian kitab An-Nakhbah.

3- Hendaklah diterima kesahihannya sekalipun tiada yang beramal dengannya, sebagaimana pendapat Al-Qasimi di dlm kitab kaedah-kaedah meriwayatkan Hadis, iaitu Qawaid At-Tahdis.

4- Tidak terhalang untuk beramal selepas menerima Hadis yang sahih jika diketahui tidak terdapat hukum yg membatalkan atau tiada perselisihan jumhur ulama atau tiada pertembungan, bahkan hendaklah beramal dengannya sehinggalah terdapat suatu ayat Al-Qur'an Atau Hadis yg melarang, maka hendaklah diperhatikan padanya terlebih dahulu.

5- Tidak akan mencacatkan kesahihan sesebuah Hadis walaupun hanya terdapat seorang sahaja dari kalangan sahabat yg meriwayatkannya. Ini adalah diambil daripada kata-kata Ibnu Al-Qayyim di dlm kitab (Ighathah Al-Lahfan).

6- Tidak semua Hadis yang sahih diceritakan kepada orang awam. Dalilnya ialah: Hadis yg diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Muaz dan antaranya (Tidak ada seseorang yg mengucapkan kalimah syahadah 'bahawa tiada tuhan yg layak disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah' akan memasuki neraka kerana Allah mengharamkan Neraka kepadanya). Sehubungan dengan itu Muaz berkata: Wahai Rasulullah! Apakah aku boleh menyampaikannya kepada orang ramai agar mereka dapat bergembira? Rasulullah s.a.w bersabda: (Kalau begitu mereka akan hanya berserah tanpa berusaha). Tetapi Muaz menyampaikannya juga selepas kewafatan baginda.


Tigkat Hadis Sahih mengikut karangan yang masyhur iaitu tujuh kedudukan:

1- Hadis yang telah disepakati kesahihannya oleh Syaikhan iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim (Muttafaqun 'alaihi).

2- Hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

3- Hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim.

4- Hadis yang menepati syarat Imam Bukhari dan Imam Muslim walaupun mereka berdua tidak meriwayatkan dalam Sahih masing-masing. Imam Nawawi berkata: (Pendapat mereka bermaksud: Untuk memastikan Hadis Sahih kita mestilah berpandukan kpdkepada syarat imam Bukhari dan Muslim secara mengenal pasti bahawa perawi-perawi Hadis tersebut terdapat di dalam kedua-dua kitab mereka (kitab sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim) kerana mereka berdua tidak meletakkan syarat dalam kitab masing-masing begitu juga di dalam kitab-kitab yang lain).

5- Hadis yang menepati syarat Imam Bukhari tetapi beliau tidak meriwayatkannya dalam kitab sahih.

6- Hadis yang menepati syarat Imam Muslim tetapi beliau tidak meriwayatkannya dalam kitab sahih.

7- Hadis yang dianggap sahih oleh ulama-ulama selain daripada keduanya tetapi tidak menepati syarat salah seorang daripada mereka.

4. Hadis dha'if

Hadis yang tidak dipenuhi antara lima syarat hadis sahih tersebut di atas. 

Hadis sahih dan hadis hasan boleh dijadikan sumber hukum, serta boleh diamalkan dan dijadikan hujjah. Manakala hadis dha'if pula hanya boleh digunakan untuk menyatakan kelebihan sesuatu amal agar diamalkan atau menerangkan keburukan sesuatu larangan agar dijauhi. 

Perlu diingatkan, dalam menetapkan hukum berdasarkan sesuatu hadis, kesahihan hadis serta sanadnya perlu diteliti dan bukan mengambil hadis tersebut mengikut keadaan semasa. Ini kerana dikuatiri berlaku ketidakadilan dalam menetapkan. Namun hakikatnya hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.

Rasulullah Saw, “Sampaikanlah dari ku walaupun hanya satu ayat.” Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Tarmidzi
 


Sunday, March 27, 2011

Tadabbur Al-Quran; Penghubung Cinta Allah (bahagian 1)

Sesungguhnya sebaik-baik petunjuk adalah Al-Quran
Dan sebaik-baik ikutan adalah Rasulullah s.a.w.
 Sangatlah besar dan agungnya Al-Quran, sesungguhnya ia adalah mukjizat kenabian baginda Rasulullah s.a.w. dan petunjuk serta pedoman dalam segala perihal kehidupan manusia sebagaimana yang telah difirmankan  Allah swt :

مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلاَ الإِيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
" Dan sebelumnya kamu tidak pun mengetahui apakah itu Al-Kitab (Al-Quran) dan tidak juga mengetahui apakah itu Iman. Tetapi kamilah yang menjadikan Al-Quran itu cahaya dan petunjuk kepada sesiapa yang kami kehendaki dari kalangan hamba kami dan sesungguhnya engkaulah (Wahai Muhammad petunjuk kepada jalan yang lurus." (Surah As-Syura : 52).



Sesungguhnya Al-Quran merupakan hujah dan petunjuk bagi mereka yang beriman sebagaimana sabda baginda “ Al-Quran itu hujah bagi kamu dan hujah ke atas kamu.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.223 ).

Dunia hari ini, dengan kemajuan dan kemodenan yang membuatkan manusia semakin cemerlang dari sudut akal dan kebijaksanaan. Kehidupan dunia yang semakin kompleks menyebabkan kita cenderung untuk mementingkan kesenangan dunia semata-mata sehingga seringkali mengabaikan keperluan rohani. Kesibukan dunia seringkali membuat kita terlupa akan Allah dan ada kalanya tersasar dari perintahNya, na'uzubillah.

Lama kelamaan hati akan menjadi kontang dari basahan ingatan kepada ayat-ayat Allah. Betapa sedikitnya kita mendalami ilmu kerohanian akibat sibuk bekerja. Betapa sedikit masa kita peruntukkan pada Allah kerana banyak urusan menghimpit diri kita. Dan sedikit juga masa kita luangkan untuk mendalami ayat-ayat Allah dek keletihan menguruskan dunia seharian.





Mungkin kita tergolong dalam golongan yang rajin membaca Al-Quran, namun apakah kita memahami akan maksudnya? Kita melafazkan ayat-ayat Allah tatkala solat tetapi adakah kita memahami makna bacaan kita? Atau kita sekadar termasuk golongan yang hanya menjadikan Al-Quran sebagai hanya bacaan masa lapang tatkala keinsafan sekali-sekala datang menjelma. Sedang Al-Quran ini diturunkan sebagai panduan yang melengkapi segala-gala ilmu pengetahuan sebagaimana firman Allah swt

 
“Dan tidaklah kami tertinggal dalam Al-Quran itu akan sesuatu (melainkan telah kami terangkannya) dan kepada Tuhanlah mereka akan dihimpunkan .” (Surah Al-An'am : 38).

Bahkan juga disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya betapa Al-Quran merupakan petunjuk dan panduan yang melengkapi bagi menyelamatkan manusia dari kesesatan dengan sabda-Nya : " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya." (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatha no.898 dan Hakim dalam Mustadrak no.63).

Firman Allah dalam Surah Hud ayat 88:


 “ Dan tiadalah petunjuk melainkan dengan petunjuk Allah dan kepada-Nya aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali”


Amat beruntunglah mereka yang memahami serta menghayati ayat-ayat Allah sehingga segala perintah dan kesan firmanNya bersemadi kukuh dalam diri. Namun bagaimana hati kita apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran? Atau bagaimana jua apabila kita sendiri membacanya?


Dari Asma' binti Abu Bakar berkata, "Sahabat-sahabat Nabi, apabila dibacakan kepada mereka Al-Quran, maka menitis air mata mereka dan bergetar tubuh mereka..." (Tafsir Al-Qurthubi)

Bagaimana kita ingin mendapatkan jiwa dan hati sekuat dan setulus para sahabat yang amat mencintai Allah dan RasulNya? Maka jalan Cinta Allah adalah melalui tadabbur Al-Quran.

Apakah yang dimaksudkan tadabbur Al-Quran? Tadabbur Al-Quran adalah merenung dan meneliti ayat-ayat Allah dari segi makna, perintah atau syariat yang terkandung di dalamnya serta hikmah daripada penurunan ayat-ayat tersebut.


Memahami ayat-ayat Allah
Akan merasa nikmat CintaNya
Diri bernaung di bawah hidayahNya
Dan langkah diatur berpandukan cahayaNya
Al-Quran panduan orang beriman
Bagi yang berfikir ia gudang keilmuan
Bagi yang berjuang ia tongkat kekuatan
Bagi yang lemah ia penawar kesempitan
Bagi yang gusar ia hujjah keyakinan
Jadikan Al-Quran teman sepanjang usia
Penyuluh jalan sehingga bertemuNya




Pada bahagian berikutnya akan diterangkan tajuk-tajuk bab Tadabbur Al-Quran seperti berikut:


1. Keperluan untuk memahami Al-Quran
2. Faktor-faktor yang dilihat dalam memahami ayat Al-Quran
3. Sumber pemahaman ayat Al-Quran
4. Penerapan tadabbur dalam diri muslim dari segi ciri, sikap dan kaedah

 Segala yang baik datang dari Allah dan saya mohon maaf jika ada kekurangan daripada diri saya.


Rujukan:

1. Ma fateh Tadabbur Quran wa Najah fil Hayah - Dr. Khalid bin Abdul Karim Al Lahim (2009)
3. Manhaj Tadabbur Al-Quran - Amran Hamdani (2006)
3. Ringkasan Muqaddimah Tafsir - Ustaz Emran Ahmad (2004)