Wednesday, July 18, 2012

Kehidupan pilihan kita


Selepas solat Maghrib, saya menemani suami menonton Berita Jam 8 di TV3. Sambil mengemas dapur, telinga saya menangkap perkembangan pembinaan Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) yang kini dikenali Tun Razak Exchange. Saya berdiri di sisi suami, mengamati berita itu.


"Dia nak buat kat mana, abang?" saya bertanya suami.


"Tempat yang abang tunjuk hari tu..." Saya cuba mengingati kembali. Pembinaannya di tengah kesibukan kota, berhampiran dengan susur keluar Lebuhraya MEX, laluan harian saya ke tempat kerja.


"Aduh, lagi jem Yani nak gi keja..." saya meluahkan rasa, membayangkan kesesakan yang bakal bertambah. Saban hari saya terpaksa melalui jalan sesak menuju Kuala Lumpur, ditambah lagi kesesakannya apabila bertambah bangunan baru di situ. Betul-betul di jalan harian saya.


Sang suami hanya tergelak melihat kegusaran saya "...nasib la awak, itu belum ada pembinaan lagi..." katanya.

Kesesakan lalulintas yang saya terpaksa hadap saban hari sering mengecewakan diri saya. Sering saya terfikir, mengapa manusia perlu disibukkan dengan kesesakan dunia sedangkan hidup mereka tidak akan lama? Betapa banyak pembangunan material setial hari tetapi akhirnya segala akan ditinggalkan juga. Adakah kita sedar akan hal itu?




Orang yang menyedari singkat kehidupan dunia tidak juga boleh lari daripada kesibukan mengejarnya. Masing-masing inginkan penghidupan yang baik. maka semua sibuk mengejar kesenangan material. Dan akhirnya kesedaran tentang kehidupan akhiran tertimbus dek kesibukan mengurus kehidupan. Saya juga tidak terkecuali. Contoh mudah sahaja, dua jam sehari saya menghabiskan masa hanya dalam kesesakan jalan raya. Belum kira lagi 22 jam bersibuk dengan pelbagai urusan dunia.




“Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga). Dan juga pintu-pintu rumah mereka (dari perak juga), dan kerusi-kerusi panjang yang mereka berbaring di atasnya (dari perak juga),serta berbagai barang perhiasan (keemasan). Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia; dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhan-mu adalah khas bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Az-Zuhruf 43: 33 – 35)




Takut rasa hati saya mengingatkan kelalaian itu. Mana tahu di dunia saya punya rumah dan kereta, tetapi di sana nanti papa kedana disebabkan amalan untuk akhirat amat sedikit sedang dosa pula banyak. Astaghfurullah.




Lalu, bagaimana harus kita hadapi dunia ini? Kita perlu berkerja mencari wang untuk menyara kehidupan. Kita perlu menempuh hari-hari yang kompleks sehingga sedikit waktu ada untuk solat dan tadabbur Al-Quran. Kehidupan dunia semakin maju dan urusan semakin cerewet menyebabkan masa kita lebih banyak dihabiskan untuk masa hadapan yang singkat berbanding masa hadapan yang panjang. Masya Allah.




Ibnul Qayyim rahimahullah mengatakan,


“Waktu manusia adalah umurnya yang sebenarnya. Waktu tersebut adalah waktu yang dimanfaatkan untuk mendapatkan kehidupan yang abadi dan penuh kenikmatan dan terbebas dari kesempitan dan azab yang pedih.Ketahuilah bahwa berlalunya waktu lebih cepat dari berjalannya awan (mendung). Barangsiapa yang waktunya hanya untuk ketaatan dan beribadah pada Allah, maka itulah waktu dan umurnya yang sebenarnya. Selain itu tidak dinilai sebagai kehidupannya, namun hanya teranggap seperti kehidupan binatang ternak. Jika waktu hanya dihabiskan untuk hal-hal yang membuat lalai, untuk sekedar menghamburkan syahwat (hawa nafsu), berangan-angan yang batil, hanya dihabiskan dengan banyak tidur dan digunakan dalam kebatilan, maka sungguh kematian lebih layak bagi dirinya.” (Al Jawabul Kafi, 109)




Kehidupan kita adalah pilihan kita. Kita yang mencorakkan sama ada kehidupan atau kematian lebih layak bagi diri kita. Kehidupan yang bermakna adalah dengan menyegerakan amal setiap kali sampai waktunya serta menyempurnakan waktu dengan kebajikan dan amal soleh. Sebaliknya jika kita masih bersenang dan dilalaikan oleh hawa nafsu, pastinya kehidupan tidak bermakna pada diri kita dari segi hakikatnya.


Jika dihimpun segala kesenangan dunia, nafsu kita memang kepingin meraih segalanya; harta; pangkat; kehidupan bersenang-senang, tidak perlu susah beramal dan menabur bakti. Itulah kehidupan mudah tetapi tidak bermakna bagi kita. Tetapi adakah itu semua kekal memberi bahagia pada kita? Sementara umur ada, memang kita boleh menikmati kesenangan itu. Tetapi apabila kematian menjemput, adakah dunia yang kita kumpul akan mengekori kita? Tepuk dada, tanya iman.


Pilihan seorang yang inginkan kehidupan bermakna adalah takwa. Takwa di sini bermakna tidak lalai dalam menunaikan ketaatan dan tidak lalai dalam menjauhi kemaksiatan. Dan cetusan kepada takwa adalah ingat kepada masa hadapan yang lebih panjang, yakni akhirat.


Orang yang sentiasa mengingati natijahnya di akhirat tidak pernah berehat dari beramal. Walau urusan dunia sentiasa menghimpit masanya, tetapi dia tetap menyelitkan amal soleh dan kebajikan. Dia memilih kehidupan yang lebih bermakna dengan mengisi masa berusaha walau terpaksa melupakan senang lenang.


Lalu, usah bersenang walau terpaksa menguruskan hal dunia atau terperangkap dalam kesesakan. Sayang benar pada waktu yang dihabiskan bergitu sahaja sekiranya tidak diisi dengan zikrullah, doa, merenung kejadian Allah atau muhasabah diri. Peringatan buat diri saya juga, insyaAllah.