Sunday, April 3, 2011

Pengenalan Ilmu Hadis (Ringkasan Mustalah Hadis)

(Rujukan utama kupasan ini adalah daripada Mastika Hadis Rasulullah saw. karangan Sheikh Abdullah ibn Muhammad Basmeih (1988).

Dari Abi Bakrah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir (mendengar hadis ku) menyampaikannya kepada orang-orang tidak hadir kerana sesungguhnya diharap orang yang disampaikan hadis itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham daripada yang menyampaikannya."

Ta'rif hadis Nabi dan Hadis Qudsi

Hadis Nabi ialah berita-berita sabda Nabi s.a.w. , perbuatan dan takrir baginda (ketiadaan larangan daripada baginda) juga sifat tubuh badan dan keperibadian Baginda.
Hadis qudsi pula adalah berita firman Allah yang disampaikan erti maksudnya oleh Rasulullah s.a.w. dengan susun kata Baginda sendiri. Dengan ini hadis Qudsi berbeza dengan kalimah Al-Quran di mana lafaz kalimah dan susun katanya diturunkan dari Allah kepada Nabi untuk disampaikan kepada umat Baginda.

Sanad Hadis

Sanad ialah salasilah atau pertalian yang terdiri daripada beberapa orang rawi, satu demi satu, bermula daripada yang mengumpulkan hadis sehingga kepada sahabat yang mendengar sendiri hadis tersebut daripada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah saw. bersabda “Semoga Allah memberi nikmat kepada orang yang mendengar sabdaku, kemudian dia menghafalkannya dan menyampaikannya pada yang lain. Betapa banyak orang yang menyampaikan hadis, namun dia tidak memahaminya. Terkadang pula orang yang menyampaikan hadis menyampaikan kepada orang yang lebih faham darinya.” (HR.  Abu Daud, Ibnu Majah dan Ath Thobroni).


Sanad ini adalah berikutan antara sahabat-sahabat dengan pengumpul hadis ada diselangi lapisan manusia. Maka dengan melihat kepada keadaan sanad serta keadaan tiap-tiap perawi, maka hadis boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian:

1. Hadis mutawwatir

Hadis mutawwatir adalah nas hadis yang diriwayatkan oleh ramai bilangan perawi pada setiap lapisan sanadnya, dan telah pasti dan yakin bahawa perawi tersebut tidak bermuafakat berdusta tentangnya. Ini kerana mustahil terdapat sekumpulan periwayat dengan jumlah yang besar melakukan dusta.

Hadis mutawwatir  ini diterima sebagai hujjah, tidak harus ditolak dan tidak harus diingkari.

2. Hadis sahih

Hadis yang dikategorikan sebagai hadis sahih seharusnya cukup akan lima syarat berikut:

a. Sanadnya bersambung dari awal sehingga akhir, dan wujudnya ikatan ilmu iaitu adanya pertemuan di antara al Lāhiq dengan al Sābiq dan tidak wujud penghalang di antara keduanya daripada bertemu sama ada dari segi masa atau tempat.

b. Perawinya bersifat adil iaitu orang yang dapat menguasai dirinya untuk membiasakan diri dengan taqwa dan menjauhi perkara-perkara fasiq dan bid’ah. Dia menepati ciri – ciri berikut ;

- Muslim.
- Baligh.
- Berakal.
- Tidak fasiq iaitu tidak melakukan dosa besar atau berterusan dalam melakukan dosa kecil.
- Menjaga maruah seperti tidak bergaul dengan orang-orang yang rendah maruahnya, tidak keterlaluan dalam bergurau senda dan tidak membuang air kecil di tepi jalan.

c. Perawinya bersifat dhabit iaitu orang yang tepat hafazannya, selamat dari kesalahan atau ragu-ragu dan berkemampuan untuk menghadirkan apa yang dihafalnya apabila diminta pada bila – bila masa. Dhabit terbahagi kepada dua iaitu Dhābit Sodri dan Dhābit Kitabi.

Dhābit Sodri – Perawi yang menghafaz apa yang didengarnya dan mampu untuk memberitahu apa yang didengar dan dihafalnya sebagaimana dia mendengarnya pada bila-bila masa.

Dhabit Kitabi – Perawi yang benar-benar menjaga catatannya daripada hilang, dicuri, diubah atau diseleweng bermula dari saat dia mencatatnya sehinggalah dia diminta untuk mengemukakan catatannya.

d. Terselamat daripada syaz iaitu tidak bertentangan dengan riwayat lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah. Hadith syaz ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah tetapi bertentangan dengan hadith lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah atau lebih ramai, dan tidak dikumpulkan.

e. Terselamat daripada kecacatan (illat) iaitu sebarang kecacatan yang boleh menghalang sesebuah hadith itu daripada mencapai darjat sahih seperti hadith yang terkandung dalam sanadnya seorang yang fasiq.


Hadith Sahih Li Zaatihi:

Perkataan Sahih adalah lawan kepada perkataan sakit.

Dari sudut istilah adalah hadis yang bersambung sanadnya melalui pembawakan orang yang kuat hafalan dan adil serta meriwayatkan daripada org yang kuat hafalan dan adil sehinggalah ke akhirnya tanpa terdapat syuzuz iaitu keganjilan dan tanpa ada illat iaitu kecacatan.


3. Sahih Li Ghairihi atau dinamakan juga Hasan Li Zaatihi

Hadis hasan sama dengan syarat-syarat hadis sahih, namun yang membezakan adalah sifat adil dan sifat dhabit yang tidak cukup penuh.

Apabila ianya diriwayatkan melalui satu atau beberapa cara yang lain maka ianya dibantu oleh suatu kekuatan pada dua bentuk:

Pertama: Riwayatnya adalah melalui perawi-perawi yang masyhur dgn kebenaran dan penjagaan rahsia sekalipun berkurangan kekuatan hafalan mereka ataupun tidak mencapai taraf ahli Hafaz yang mahir dari kalangan perawi-perawi Hadis Sahih.

Kedua: Riwayatnya adalah melalui cara yang lain di mana dengan cara ini diperolehi satu kekuatan yang dapat menggantikan apa yang hilang pada kesempurnaan kekuatan hafalan dan dapat menaikkan taraf dari taraf Hasan kepada taraf Sahih, cuma ianya bukan Li Zaatihi, bahkan ianya dianggap Li Ghairihi.




Hukum hadis sahih:

1- Hadis tersebut adalah sahih dan wajib membuat hukum dengannya apabila terdapat di dlm kedua-dua kitab sahih Bukhari dan Muslim, sebagaimana pendapat yg dipilih oleh Ibnu Solah serta menetapkan kesahihannya.

2- Wajib beramal dengan setiap Hadis sekalipun tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim, sebagaimana pendapat Ibnu Hajar di dlm huraian kitab An-Nakhbah.

3- Hendaklah diterima kesahihannya sekalipun tiada yang beramal dengannya, sebagaimana pendapat Al-Qasimi di dlm kitab kaedah-kaedah meriwayatkan Hadis, iaitu Qawaid At-Tahdis.

4- Tidak terhalang untuk beramal selepas menerima Hadis yang sahih jika diketahui tidak terdapat hukum yg membatalkan atau tiada perselisihan jumhur ulama atau tiada pertembungan, bahkan hendaklah beramal dengannya sehinggalah terdapat suatu ayat Al-Qur'an Atau Hadis yg melarang, maka hendaklah diperhatikan padanya terlebih dahulu.

5- Tidak akan mencacatkan kesahihan sesebuah Hadis walaupun hanya terdapat seorang sahaja dari kalangan sahabat yg meriwayatkannya. Ini adalah diambil daripada kata-kata Ibnu Al-Qayyim di dlm kitab (Ighathah Al-Lahfan).

6- Tidak semua Hadis yang sahih diceritakan kepada orang awam. Dalilnya ialah: Hadis yg diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Muaz dan antaranya (Tidak ada seseorang yg mengucapkan kalimah syahadah 'bahawa tiada tuhan yg layak disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah' akan memasuki neraka kerana Allah mengharamkan Neraka kepadanya). Sehubungan dengan itu Muaz berkata: Wahai Rasulullah! Apakah aku boleh menyampaikannya kepada orang ramai agar mereka dapat bergembira? Rasulullah s.a.w bersabda: (Kalau begitu mereka akan hanya berserah tanpa berusaha). Tetapi Muaz menyampaikannya juga selepas kewafatan baginda.


Tigkat Hadis Sahih mengikut karangan yang masyhur iaitu tujuh kedudukan:

1- Hadis yang telah disepakati kesahihannya oleh Syaikhan iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim (Muttafaqun 'alaihi).

2- Hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

3- Hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim.

4- Hadis yang menepati syarat Imam Bukhari dan Imam Muslim walaupun mereka berdua tidak meriwayatkan dalam Sahih masing-masing. Imam Nawawi berkata: (Pendapat mereka bermaksud: Untuk memastikan Hadis Sahih kita mestilah berpandukan kpdkepada syarat imam Bukhari dan Muslim secara mengenal pasti bahawa perawi-perawi Hadis tersebut terdapat di dalam kedua-dua kitab mereka (kitab sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim) kerana mereka berdua tidak meletakkan syarat dalam kitab masing-masing begitu juga di dalam kitab-kitab yang lain).

5- Hadis yang menepati syarat Imam Bukhari tetapi beliau tidak meriwayatkannya dalam kitab sahih.

6- Hadis yang menepati syarat Imam Muslim tetapi beliau tidak meriwayatkannya dalam kitab sahih.

7- Hadis yang dianggap sahih oleh ulama-ulama selain daripada keduanya tetapi tidak menepati syarat salah seorang daripada mereka.

4. Hadis dha'if

Hadis yang tidak dipenuhi antara lima syarat hadis sahih tersebut di atas. 

Hadis sahih dan hadis hasan boleh dijadikan sumber hukum, serta boleh diamalkan dan dijadikan hujjah. Manakala hadis dha'if pula hanya boleh digunakan untuk menyatakan kelebihan sesuatu amal agar diamalkan atau menerangkan keburukan sesuatu larangan agar dijauhi. 

Perlu diingatkan, dalam menetapkan hukum berdasarkan sesuatu hadis, kesahihan hadis serta sanadnya perlu diteliti dan bukan mengambil hadis tersebut mengikut keadaan semasa. Ini kerana dikuatiri berlaku ketidakadilan dalam menetapkan. Namun hakikatnya hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.

Rasulullah Saw, “Sampaikanlah dari ku walaupun hanya satu ayat.” Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Tarmidzi