Wednesday, August 8, 2012

Iktikaf


Diriwayatkan, Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan iktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan ini sehinggalah baginda wafat. Isteri-isteri baginda juga turut beriktikaf bersama-samanya ketika baginda hidup dan selepas baginda wafat.

.

Allah berfirman:

76:26

“Dan pada sebahagian daripada malam, maka sujudlah kepada-Nya (dengan mengerjakan solat) dan bertasbihlah memuji-Nya pada bahagian yang panjang di malam hari.” (al-Insan: 26)

.

Iktikaf hendaklah dilakukan di masjid atau surau yang didirikan solat Jumaat padanya. Sudah tentu apabila kita beriktikaf untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, kita akan melakukan sesuatu ibadat.

.

Perkara yang sunat dilakukan ialah berqiamullail iaitu membanyakkan ibadat sunat seperti solat tahajud, hajat, taubat, tasbih, mutlak yang diakhiri dengan solat sunat witir. Selain itu, membaca al-Quran,.juga boleh bertasbih, bertahmid, beristighfar, berselawat dan berdoa.

.

.

IKTIKAF

.

1. DEFINISI IKTIKAF

Iktikaf bermaksud berhenti dalam masjid pada suatu masa yang tertentu untuk mengerjakan amal ibadah sunat yang dituntut oleh Allah SWT. Iktikaf bertujuan mendampingi masjid untuk mentaati Allah. Ringkasnya Iktikaf bermaksud bertafakur dalam masjid mencari keredaan Allah S.W.T.

.

Selama kita beriktikaf dan menanti ke solat seterusnya, ia dikira sebagai suatu ibadat dan didoakan oleh para malaikat. Sabda Rasulullah SAW.: “Para Malaikat sentiasa mendoakan seseorang kamu, selagi ia tetap di tempat solatnya, sehingga wuduknya batal ataupun ia bercakap.” Para Malaikat itu memohon: “Ya Allah! Rahmatilah dia; Ya Allah! Kasihanilah dia; Ya Allah! Ampunilah dosanya”.

.

Hukum beriktikaf adalah sunat muakkad, terutama pada 10 terakhir Ramadan.

.

.

2. JENIS-JENIS IKTIKAF

Iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk; pertama sunat, dan kedua wajib.

.

1. Iktikaf sunat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata untuk bertaqorrub kepada Allah SWT seperti; iktikaf 10 hari terakhir bulan Ramadan.

2. Iktikaf wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti: “Kalau Allah SWT menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf.”

.

.

3. WAKTU IKTIKAF

Iktikaf boleh dilakukan sepanjang masa dan waktu. Iktikaf sunat tidak ada batasan waktu tertentu, bila-bila saja pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat.Masanya boleh satu hari tanpa malamnya atau satu malam tanpa siang.

Ya’la bin Umayyah berkata: ” Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tak lain hanya untuk beriktikaf.”

Iktikaf wajib bergantung pada berapa lama waktu/masa yang dinazarkan,

.

.

4. SYARAT SAH IKTIKAF

  1. Islam,
  2. Berakal,
  3. Tidak berjunub,
  4. Bersih dari haid dan nifas bagi perempuan.
  5. Berniat tinggal (duduk) di dalam masjid; Ibadah iktikaf adalah tidak sah melainkan dengan berniat.

نَوَيْتُ اْلإِعْتِكَافَ فِىْ هَذَا الْمَسْجِدِ سُنَّةَ لِلَّهِ تَعَالَى.

Daku berniat iktikaf dalam masjid ini kerana Allah Ta’ala.

.

.

5. RUKUN IKTIKAF

1. Niat:

Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya sesuatu amalan itu berdasarkan niat.” (HR: Bukhari & Muslim r.a.)

.

Firman Allah SWT;

98:5

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah denganmengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”

(QS. Al Bayyinah : 5),

.

.

2. Duduk / diam di masjid:

Bertujuan membersihkan hati dengan mengingati Allah SWT dan taqarrub (berdamping) dengan Yang Maha Pencipta dengan hati yang ikhlas.

.

Firman Allah SWT;

2:187

“Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”

(QS. Al Baqarah : 187)

.

.

6. TEMPAT IKTIKAF

Iktikaf boleh dilakukan sama ada di masjid, surau atau mushalla, kerana semuanya merupakan tempat beribadah atau ‘Rumah Allah’. Fungsi tempat-tempat ini sama saja iaitu sebagai tempat untuk sujud (masjid) atau sebagai tempat solat (mushalla) kepada Allah SWT.

.

  1. Lebih afdal beriktikaf di tiga masjid; Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.
  2. Di masjid Jamik (diguna untuk solat Jumaat), sehingga orang yang beriktikaf tidak perlu meninggalkan tempat iktikafnya menuju masjid lain untuk solat Jumaat.
  3. Di setiap masjid yang diguna untuk solat berjemaah lima waktu, bagi menghindari seringnya keluar masjid dan untuk menjaga pelaksanaan solat jemaah setiap waktu.

.

.

7. AMALAN SEWAKTU IKTIKAF

Perkara yang sunat dilakukan:

  1. Mendirikan solat-solat sunat.
  2. Menghadiri tazkirah, majlis ilmu, mengulangkaji kitab hadith, tafsir, sirah nabi dan sebagainya.
  3. Memuhasabah diri terhadap perkara-perkara yang lalu.
  4. Memperbanyakkan kegiatan taqarrub seperti:
    1. Membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran,
    2. Bertasbih, tahmid, takbir dan tahlil,
    3. Istighfar,
    4. Berselawat dan berdoa,
    5. Menunaikan solat sunat.

.

.

8. ADAB IKTIKAF

1. Sebelum ke masjid:

  1. Mandi,
  2. Memotong rambut,misai dan kuku,
  3. Memakai pakaian yang bersih dan haruman.

.

2. Di masjid

  1. Memberi salam kepada ahli masjid,
  2. Solat sunat Tahiyyatul Masjid,
  3. Berniat iktikaf,
  4. Melakukan ibadah,
  5. Menjaga kelakuan dan tatatertib masjid.

.

3. Perkara yang harus dilakukan:

Perkara yang dibolehkan bagi ‘mutakif’ (orang yang beriktikaf).

  1. Keluar daripada masjid kerana hajat dan dharuriah (darurat).
  2. Keluar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saudara mara.
  3. Menziarahi kematian atau orang sakit.
  4. Membersihkan tubuh dari kotoran dan bau badan.
  5. Dibolehkan makan minum, tidur, melakukan transaksi, perjanjian jual beli, akad nikah dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid.
  6. Keluar dari tempat iktikaf kerana keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil, makan, minum (jika tidak ada yang menghantarkannya), dan segala sesuatu yang tidak mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali setelah menyelesaikan keperluannya .

Adapun bagi orang yang iktikaf nazar maka tidak dibenarkan menziarahi orang sakit, menjenguk jenazah dan bertakziah.

.

.

9. BATAL ITIKAF

Perkara yang membatalkan iktikaf:

  1. Hilang akal kerana gila atau mabuk.
  2. Datang haid atau nifas.
  3. Murtad.
  4. Berjimak.
  5. Keluar masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar, kerana meninggalkan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid.

.

.

10. IKTIKAF WANITA

Iktikaf wanita bergantung kepada izin suami.

  1. Iktikaf sunat tidak wajib ke atas isteri sehingga suami mempunyai hak untuk melarangnnya.
  2. Iktikaf nazar yang mendapat kebenaran suami pada waktu tertentu, maka isteri boleh masuk ke tempat iktikaf tanpa perlu dapatkan izin baru atau khusus dari suami.
  3. Jika iktikaf nazar mendapat kebenaran suami pada tanpa waktu tertentu, maka isteri tidak boleh memulakan waktu iktikaf kecuali dengan izin suaminya.
  4. Pendapat kuat para ulamak; Apabila suami memberikan izin pada isteri melakukan iktikaf, maka dia tidak berhak menarik semula kebenaran tersebut baik iktikaf sunat atau wajib.
  5. Menurut Mazhab Hanafi : wanita boleh melakukan iktikaf di masjid manapun sebagaimana dia dibolehkan untuk melakukan iktikaf di tempat solat rumahnya. Namun, dia tidak dibolehkan melakukan iktikaf di rumahnya di luar tempat yang disediakan untuk melakukan solat.
  6. Mazhab Hambali dan Syafie pula : Wanita dibolehkan untuk melakukan iktikaf di masjid yang tidak digunakan untuk melakukan solat jamaah. Mereka tidak boleh melakukan iktikaf di rumahnya kerana ia adalah ibadat yang dikhususkan dilakukan di masjid.
  7. Pendapat yang kuat adalah pandangan Hanafi. Wanita boleh beriktikaf di tempat yang khusus solat di dalam rumahnya.

.

.

11. IKTIKAF NAZAR

  1. Jika seorang bernazar untuk beriktikaf pada tempoh tertentu secara berturut-turut maka dia tidak boleh keluar dari masjid kecuali dengan tujuan tertentu.
  2. Sekiranya keluar tanpa keuzuran untuk perkara yang bukan dharusi maka hukumnya haram, iktikafnya terputus dan wajib memulakan iktikaf baru.
  3. Sekiranya dia bernazar untuk iktikaf dengan puasa maka dia mesti melakukannya dan ia adalah paling baik baginya.
  4. Jika dia terbatal, maka diwajibkan dia menyempurnakan bilangan hari iktikaf yang berbaki . (iktikaf yang tidak disyaratkan secara berturut-turut beberapa hari).
  5. Jika dia mensyaratkannya secara berturut-turut, maka dia harus melakukannya sekaligus secara berturut-turut.

.

.

12. ITIKAF LAILATUL-QADAR

Itikaf ini dikenali juga sebagai ‘Iktikaf Asyrul-Awahir’. Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW. mengajak isteri dan keluarga serta para sahabat Baginda menghidupkan malam dan mengisinya dengan pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.

.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah dekati (jimak) mereka (isteri kamu) dalam keadaan kamu beriktikaf di dalam masjid.” (Al-Baqarah: 187)

.

Iktikaf menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.

Daripada Aishah r.a bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir dari Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan isteri-isteri baginda.. ( muttafaqun alaih)

Daripada Aishah r.a telah berkata : “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan)” . ( Muttafaqun alaih)

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : “Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan baginda”. ( Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah).

.

.

13. WAKTU IKTIKAF LAILATUL-QADAR

a. Waktu bermula iktikaf:

Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjd sebelum terbenam matahari kedua puluh Ramadhan.

.

b. Waktu akhir iktikaf:

Waktu tamat iktikaf ialah selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan.

.

.

14, HIKMAH IKTIKAF

  1. Dapat melihat kekurangan dan kelemahan diri.
  2. Meningkatkan displin dan tahap kesabaran diri.
  3. Bersemangat untuk memperbaiki diri.
  4. Meningkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan,
  5. Memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. dan manusia.

.

.

Apabila Allah SWT memberi peluang berada di bulan Ramadhan, ada sesuatu yang ingin diberikan kepada kita. Semoga kita sentiasa dapat mengabdikan diri secara khusus kepada Yang Maha Khaliq dalam bulan kesabaran ini. Amin!

Tuesday, August 7, 2012

24 Jam Melayari Ramadhan


A) 1/3 AKHIR MALAM (MULAI 2.30 PAGI)

.

1. Qiamullail

Dalam waktu 1/3 akhir malam, iaitu antara jam 2.30 pagi hingga terbit fajar, adalah masa teristimewa dan turunnya Rahmat Allah ke bumi. Waktu ini amat sesuai untuk Qiamullail iaitu melakukan solat-solat sunat dan berzikir kepada Allah SWT.

Orang yang mengamalkan qiamullail akan diangkat darjat dan dihapuskan dosa2 mereka. Nabi SAW bersabda; “Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang yang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah dosa.” (HR; Muslim)

Banyak keterangan tentang hadis-hadis keistimewaan 1/3 malam, ‘Rahmat Allah turun ke langit dunia’, pentafsiran tentang kalimah ‘turunnya’ Allah, kaifiyat berqiamullai, boleh pelbagaikan amalan ketika qiamullail, bukan setakat melakukan solat tahajud, tapi membaca al-Quran, dengan memahami isi kandungannya, berzikir dan beristighfar muhasabah diri serta menangis mengenangkan dosa-dosa.

Apa yang lebih penting dalam Islam ialah melakukan ibadat itu biar sedikit tetapi istiqamah yakni dibuat berterusan dan falsafah di sebalik qiamullail terkandung sifat ikhlas di mana kita beribadat seorang diri pada waktu orang lain nyenyak tidur di tilam yang empuk.

.

.

2. Solat-solat sunat yang harus didirikan ialah:

.

a) Solat Sunat Tahajjud

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Al-Isra’; 79)

Dari Ubadah bin Shamit RA dari Rasulullah SAW : “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengucap “Tiada Tuhan selain Allah. Tidak ada sekutu baginya. Dia Pemilik Kerajaan dan segala puji hanya untukNya. Dia Maha Kuasa. Segala pujian hanya untuk Allah. Segala Keagungan hanya untuk Allah. Tiada tuhan selain Allah. Allah Maha Besar. Tiada daya dan kuasa kecuali dengan izin Allah.” Kemudian mengatakan “”Ya Allah Ampunkan Kami” atau berdoa kepada Allah, maka doanya akan dikabulkan dan apabila dia berwudhuk dan mengerjakan solat malam (tahajjud), maka solatnya akan diterima.” (Hadis riwayat Bukhari).

.

Di antara Fadhilat Lainnya :

1. Mendapat pengawasan Allah dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya.
2. Dikasihi oleh para ahli ibadah dan orang mukmin.
3. Percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.
4. Dimudahkan hisab ke atasnya.
5. Mendapat catatan amal dari tangan kanan.
6. Doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT.

.

.

b) Solat Sunat Taubat

Bertujuan untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat kepada Allah SWT menyesal dan tidak akan mengulangi dosa yang disesalkan itu lagi.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “ Tuhan Kami, Pemberi Berkat, Yang Maha Kuasa, turun setiap malam hingga ke langit yang paling dekat dengan kita (langit dunia) pada akhir 1/3 malam dan Dia berfirman ; Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku Kabulkan. Sesiapa yang meminta sesuatu dariKu, akan Kuberikan. Sesiapa yang memohon kemapunan kepadaKu, akan Aku ampunkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)

.

.

c) Solat Sunat Istikharah

Solat ini dilakukan tidak terhad kepada urusan perjodohan sahaja tetapi dalam skop yang lebih luas adalah untuk mendapatkan petunjuk, terutama bila seseorang dalam memutuskan tindakan yang terbaik dan kelancaran urusan seharian.

.

.

d) Solat Sunat Tasbih

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Kalau boleh didirikan setiap malam, kalau tidak boleh, seminggu sekali, kalau tidak boleh sebulan sekali, kalau tidak pun setahun sekali, paling2 tidak sekali seumur hidup.” Allah menjanjikan keampunan dosa yang lalu dan akan datang untuk mereka yang mengerjakan solat ini.

.

.

e) Solat Sunat Hajat

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat dari Allah SWT atau daripada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua rakaat.” (Riwayat At-Tarmizi)

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanad shahih dari Abu Dardak bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian bersembahyang dua rakaat dengan sempurna, maka dia diberi Allah apa saja yang diminta baik cepat ataupun lambat.”

.

.

f) Solat Sunat Witir

Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan Solat Witir walaupun sekali. Sabda Rasullulah SAW dari Abu Hurairah: “Sesiapa yang tidak berwitir, maka bukanlah dia termasuk golongan kami.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud)

Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua rakaat dhuha dan witir sebelum tidur.”

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu Solat Witir.” (Hadis Riwayat al-Turmudzi dan al-Hakim r.a.)

Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat ini tanpa keuzuran dan umat Islam amat dituntut melakukannya.

Bagaimanapun, paling minimum qiamullail ialah menunaikan solat witir satu rakaat.


B) 1/3 AKHIR MALAM (5.30 PAGI)

.

1. Bersahur

Rasulullah SAW bersabda;“Seelok-elok sahur seorang mukmin itu ialah dengan buah tamar.” – (Hadis riwayat Ibn Hibban).

Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasulullah SAW: “Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya.” (HR. Muslim).

“Semua sahur adalah berkat, maka janganlah kamu meninggalkannya, walaupun di antara kamu hanya meneguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat atas orang-orang yang melakukan sahur.” (HR. Ahmad, dan al-Mundziri)

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala dari Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.

Nabi SAW. bersabda: “Jadikanlah makan diwaktu sahur sebagai penolong melakukan puasa diwaktu siang. Dan istirahat di tengah hari sebagai penolong untuk melakukan shalat malam kamu.”

.

.

2. Membaca Al Quran

Sementara menanti masuk Subuh, membaca al-Quran kerana Rasulullah SAW pernah bersabda, “Membaca al-Quran adalah ibadat sunat yang paling afdal.”

Anas meriwayatkan daripada Zaid bin Thabit: “Kami telah bersahur bersama-sama dengan Nabi, kemudian Baginda bangun untuk mengerjakan solat. Aku (Anas) bertanya, berapa lama tempoh antara azan dengan sahur itu? Zaid menjawab sekadar bacaan 50 ayat al-Quran.”


C) PENGHUJUNG MALAM (WAKTU IMSAK – 5.40 PAGI)

.

1. Bersugi

Berhenti makan berat 10 minit sebelum Subuh (Imsak) supaya dapat bersugi membersihkan mulut dan sempat bersedia dengan tenang untuk ke masjid bersolat jamaah.

Walaubagaimana pun sekiranya seseorang itu terlewat bangun untuk makan sahur dipenghujung waktu, masih lagi diharuskan makan dengan kadar segera.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya”. (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah).

.

2. Minum Sedikit Air

Beberapa minit sebelum Subuh minumlah segelas air masak/zam-zam bagi melegakan kerongkong selepas bersugi dan membersihkan mulut dari sisa-sisa makanan yang masih ada.


D) SUBUH / FAJAR (AZAN SUBUH – 5.50 PAGI)

1. Solat Sunat Rawatib Sebelum Subuh (Solat Sunat Fajar)

Sabda Rasulullah SAW; “Solat dua rakaat (sebelum) Solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.” (HR; Muslim)

Sayyidah ‘Aisyah dalam hadis muttafaq ‘alaih menyatakan: “Tidak ada nafilah, solat sunnah, yang sangat dijaga pelaksanaannya oleh Nabi Saw. melebihi dua rakaat fajar.” (HR. Bukhari dan Muslim)

.

2. Solat Subuh Berjemaah

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang keluar ke masjid pada waktu pagi atau petang, Allah SWT akan sediakan kepadanya di syurga tempat berteduh pada setiap kali ia keluar.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

.

3. Membaca Al Quran

Membaca al-Quran kerana Rasulullah SAW pernah bersabda, “Membaca al-Quran adalah ibadat sunat yang paling afdal.”

Bersabda Rasulullah SAW, “Sesiapa membaca satu huruf kitab Allah, memperoleh satu kebajikan. Saya tidak mengatakan Alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (HR; al-Tirmizi)

.

4. Berselawat

Kelebihan atau keistimewaan selawat antara lain dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: 56).

Banyak kelebihan lain kepada orang yang berselawat kepada Rasulullah SAW, Allah akan menunaikan segala hajatnya, menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjatnya dan memperolehi syafaat Rasulullah SAW pada hari kiamat.

”Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu.” (Riwayat Ibnu Murdawaih).

“Sesiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (Riwayat Abus Syaikh dari Anas).

”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku.” (Riwayat Tirmizi).


E) SYURUK – (7.12 PAGI)

1. Membaca Al-Ma’thurat

Sesiapa yang membaca di waktu pagi, akan dipelihara oleh Allah hingga ke waktu petang. Dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.

.

2. Berwirid Sehingga Terbit Matahari

Kita juga boleh bertasbih, bertahmid, beristighfar, berselawat dan berdoa.

Sabda Rasulullah SAW.: “Para malaikat berselawat bagi setiap orang yang selesai solat dan masih ia tetap di tempat solatnya itu. Malaikat pun berdoa: “Ya Allah, berikanlah kepadanya rahmat dan keampunan-Mu.…” begitulah keadaannya selama mana orang itu tidak batal wuduknya atau ia keluar dari masjid.” Hadis Riwayat Muslim.


F) ISYRAQ – (7.24 PAGI)

1. Membaca Doa Solat Sunat Isyraq

Sebelum mendirikan solat Isyraq bacalah doa berikut:

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِىْ اَقَالَنَا يَوْمَنَا هَذَا وَلَمْ يُهْلِكْنَا بِذُنُوْبِنَا.

Segala pujian bagi Allah yang telah memberikan kami hari ini dan tidak memusnahkan kami kerana dosa-dosa yang dilakukan.

.

2. Solat Sunat Isyraq

Solat Sunat Isyraq dua rakaat ini dikerjakan selepas waktu Syuruk iaitu setelah matahari naik anggaran setengah galah (4 hasta atau 1.5 meter), lebih tepatnya kira-kira 12 minit setelah terbit matahari.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna.” (Hadis Riwayat, At-Tirmidzi r.a.)


G) PAGI – (7.45 PAGI)

Mula keluar bekerja/belajar…

1. Itqan atau Tekun Berkerja/Belajar

Setiap pekerjaan yang baik adalah suatu ibadah. Walaubagaimana pun sewaktu belajar / berkerja hendaklah diniatkan sebagai ibadah dan berkhidmatlah dengan sebaik atau seikhlas mungkin.

.

2. Solat Sunat Dhuha – (10.00 Pagi)


Waktu rehat pagi boleh diguna melakukan solat sunat ini…

Rasulullah SAW bersabda lagi, “Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan), dan tidak ada yang akan memelihara solat Dhuha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat.”

Daripada Abu Dzar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.” (HR Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

.

3. Membaca Al Quran

Tips Khatam Membaca 30 Juzuk Al Quran:

Baca sedikit tetapi selalu. Satu juzuk selalunya mengandungi 20 mukasurat; Jadi lakukanlah pembacaan seperti berikut:

  1. Bacalah 4 mukasurat selepas Subuh (20 minit)
  2. Bacalah 4 mukasurat selepas Zuhur (20 minit)
  3. Bacalah 4 mukasurat selepas Asar (20 minit)
  4. Bacalah 2 mukasurat selepas Isyak (10 minit)
  5. Bacalah 6 mukasurat selepas Tarawih (30 minit)

H) TENGAHARI – (1.00 T.HARI)

Waktu rehat tengahari boleh diguna melakukan pelbagai ibadah termasuk qailullah, membaca Al Quran, tazkirah dan solat…

1. Qailullah

Qailullah ialah tidur sebentar sebelum masuk waktu solat Zuhur; dengan kadar masanya antara 10 hingga 30 minit. Tidur ini disunatkan sebagai memudahkan untuk bangun menunaikan solat sunat di tengah malam. Sekiranya tidur tanpa berniat untuk bangun pada tengah malam maka tidaklah mendapat sebarang pahala pada tidur tersebut.

Rasulullah SAW bersabda: “Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailullah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zuhur) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail.” Hadis riwayat Ibnu Abbas.

Khalifah Umar bin Khattab pernah mengingatkan agar tidak terlalu banyak tidur; “Sekiranya kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak masyarakat; jika kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah.” Oleh kerana itu haruslah mengimbangi dan menggunakan waktu tidur siang yang hanya seketika (bukan sepanjang hari) walaupun pada musim panas atau bulan Ramadan.

2. Solat Sunat Rawatib Sebelum Zuhur (1.21 Petang)

Dari Ibnu Umar ra berkata, “Aku menjaga 10 rakaat dari nabi SAW: 2 rakaat sebelum solat Zuhur, 2 rakaat selepasnya, 2 rakaat selepas solat Maghrib, 2 rakaat selepas solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.” (HR Muttafaqun ‘alaihi)

Daripada Aisyah r.a.; “Bahawa jika Rasulullah SAW tertinggal solat empat rakaat sebelumZuhur, maka Baginda SAW melakukannya selepas Zuhur (waktu Asar).” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)

.

3. Solat Fardu Zuhur

Sabda Rasullullah SAW,

“1. Solat Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada Tuhannya.


2.
Solat Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi.


3.
Solat Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam a.s. Maka setiap mukmin yang bersolat Maghrib dengan ikhlas dan kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya.


4.
Solat Isyak itu ialah solat yang dikerjakan oleh para Rasul sebelumku.


5.
Solat Subuh adalah sebelum terbit matahari.Ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya setiap orang kafir.”

Daripada kitab Durratun Nasihin, Rasulullah SAW. bersabda: “Sesiapa solat lima waktu berjemaah, maka baginya lima perkara (hadiah): Pertama dia tidak ditimpa kefakiran di dunia. Kedua, Allah SWT membebaskannya daripada seksa kubur. Ketiga, dia akan menerima kitab amal dengan tangan kanan. Keempat, dia akan melalui jambatan (siratulmustakim) seperti kilat menyambar dan kelima, Allah SWT. memasukkannya ke dalam syurga tanpa hisab dan seksa.”

.

4. Solat Sunat Rawatib Selepas Zuhur

Daripada Ummu Habibah yakni Ramlah binti Abu Sufyan radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:“Tiada seorang hamba pun yang Muslim yang bersolat kerana Allah Ta’ala setiap hari dua belas rakaat sebagai solat sunnah yang bukan diwajibkan, melainkan Allah akan mendirikan untuknya sebuah rumah dalam syurga, atau: melainkan untuknya akan didirikanlah sebuah rumah dalam syurga.” (Riwayat Muslim)


I) PETANG – (4.39 PETANG)

.

1. Solat Asar

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mendengar azan tetapi ia tidak hadir, maka tidaklah sempurna solatnya kecuali disebabkan keuzuran.” (Riwayat Ibn Majah).

.

2. Membaca Al-Ma’thurat

Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya, termasuk mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat serta mendapat keselamatan dari segala sesuatu.

.

3. Menyediakan Bahan Berbuka dan Bersahur

Rasulullah SAW sering menggalakkan umat Islam menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa meskipun dengan hanya beberapa biji tamar atau segelas air.

Sabda Baginda SAW : “Sesiapa yang menjamu orang yang puasa akan mendapatkan pahala seperti pahalanya orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (HR. Ahmad, Tirmidzi, bn Mâjah, Ibn Hibban dan dishahih kan oleh Imam Tirmidzi)


J) MAGHRIB – (7.28 MALAM)

1. Berbuka Puasa dengan Buah Kurma dan Segelas Air Terlebih Dahulu

Rasulullah SAW mengisi perut dengan sedikit makanan seperti kurma dan air saja, setelah itu baru Baginda SAW melaksanakan solat Maghrib. Tetapi apabila makan malam sudah dihidangkan, maka terus dimakan, jangan solat dahulu.

Disunatkan berbuka dengan tiga butir kurma dan segelas air. Anas bin Malik berkata:“Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab (buah kurma ranum). Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar (kurma kering) dan jika tiada tamar, Baginda minum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sekiranya tiada kurma, bolehlah digantikan dengan manisan, buah-buahan atau makanan yang belum terkena api.

.

2. Memperbanyakkan Doa

Disarankan berdoa apa saja yang dihajati sewaktu berbuka kerana ia antara waktu yang mustajab (makbul) berdoa. Rasulullah SAW. bersabda: “Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas mereka yang bersahur.” – (Hadis riwayat At-Tabrani dan Ibn Umar).

.

3. Solat Fardhu Maghrib Berjemaah

Allah mengurniakan ganjaran pahala 27 kali ganda daripada solat bersendirian kepada orang yang mendirikan solat berjemaah. Daripada Ibnu Umar r.a. katanya; Rasulullah SAW. bersabda: “Solat jemaah itu lebih utama pahalanya daripada solat sendirian sebanyak 27 darjat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim r.a.)

Rasulullah SAW. bersabda: “Solat seorang lelaki dengan berjemaah, lebih baik daripada solat bersendirian di rumah selama empat puluh tahun.”

.

4. Solat Sunat Rawatib Selepas Maghrib

Dari Ibnu Umar ra berkata, “Aku menjaga 10 rakaat dari nabi SAW: 2 rakaat sebelum solat Zohur, 2 rakaat selepasnya, 2 rakaat selepas solat Maghrib, 2 rakaat selepas solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.” (HR Muttafaqun ‘alaihi)


K) 1/3 AWAL MALAM – (8.40 MALAM)

1. Solat Fardu Isyak Berjemaah

Sabda Rasulullah SAW: “Mahukah kamu, aku tunjukkan perbuatan yang jika kamu lakukan, nescaya Allah akan menghapuskan segala kesalahan dan mengangkat kamu ke darjat yang tinggi? Iaitu melengkapkan wuduk meskipun secara terpaksa (kerana sejuk atau panas), memperbanyakkan langkah ke masjid dan menunggu satu solat sesudah solat yang lain. Itulah pendinding kamu..” (Hadis sahih)

Sabda Nabi SAW.:“Sesiapa solat Isyak berjemaah, maka seolah-olah ia solat separuh malam dan sesiapa yang menghadiri solat Isyak dan Subuh berjemaah, maka seolah-olah ia telah beribadat sepanjang malam.” (Riwayat Muslim)

.

2. Solat Sunat Rawatib Selepas Isyak

Daripada Ummu Habibah yakni Ramlah binti Abu Sufyan radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:“Tiada seorang hamba pun yang Muslim yang bersolat kerana Allah Ta’ala setiap hari dua belas rakaat sebagai solat sunnah yang bukan diwajibkan, melainkan Allah akan mendirikan untuknya sebuah rumah dalam syurga, atau: melainkan untuknya akan didirikanlah sebuah rumah dalam syurga.” (Riwayat Muslim)

.

3. Tarawih dan Witir Berjemaah

Dalam bulan Ramadhan ini, menunaikan solat tarawih sudah dikira sebagai qiamullail. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bangun (qiamullail) pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan akan diampun dosanya yang terdahulu.” (HR; Bukhari dan Muslim).

Bagi makmum yang mengerjakan solat Tarawih disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat mahupun 8 rakaat. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” (HR; an-Nasaei).

.

4. Tadarus Al Quran dan Tadabbur Maknanya.

Disebutkan dalam hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak berkumpul satu kaum di suatu rumah dari rumah Allah (masjid) yang membaca al-Quran dan saling mempelajarinya antara mereka melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, diselubungi rahmat, dikelilingi malaikat rahmat dan Allah mengingati mereka pada siapa di sisi-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah oleh kamu al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) itu datang pada hari kiamat menjadi syafaat kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Abu Umamah dan Muslim)


L) 2/3 MALAM – (11.00 MALAM)

.

  1. 1. Berdoa dan Berniat

Berdoa sebelum tidur sambil berniat untuk bangun awal di samping berniat puasa untuk hari esok.

Doa Sebelum Tidur

اَللَّهُمَّ أَنْتَ خَلَقْتَ نَفْسِىْ وَأَنْتَ تَتَوَفَّاهَا. لَكَ مَمَا تُهَا وَمَحْيَاهَا، إِنْ أَحْيَيْتَهَا فَاحْفَظْهَا، وَإِنْ أَمَتَّهَا فَاغْفِرْلَهَا. اَللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ.

Ya Allah! Dikaulah yang menciptakan diriku dan Dikaulah juga yang mematikannya. Untuk-Mulah kematian dan kehidupan diriku. Oleh kerana itu, apabila Dikau menghidupkannya, maka Dikau jagakanlah ia dan apabila Dikau mematikannya, Dikau ampunilah ia. Ya Allah daku memohon kesejahteraan dari-Mu.

.

Ketika mahu melelapkan mata, Baginda SAW meletakkan tangan kanannya di bawah pipi kanannya dan sekali lagi berdoa:

بِاسْمِكَ اَللَّهُمَّ أََحْيَا وَأَمُوتُ. اَللَّهُمَّ قِنِىْ عَذَابِكَ يَوْمَ تُبْعَثُ عِبَادَكَ.

Dengan nama-Mu ya Allah, daku hidup dan daku mati. Ya Allah! Pelihara-lah daku daripada azab-Mu pada hari Dikau bangkitkan semua hamba-Mu.

.

2. Tidur

Tidur berpatutan adalah ibadah. Ulama terkemuka berkata, kehidupan manusia sehari-hari dibahagikan kepada tiga iaitu:

  1. Lapan jam untuk taat dan beribadat kepada Allah,
  2. Lapan jam untuk bekerja dan mencari nafkah,
  3. Lapan jam lagi untuk beristirehat dan tidur.

Waktu beristirehat ini termasuklah ‘qualiti time’ bersama ahli keluarga dan masa tidur yang sebenar-benarnya yang diperlukan oleh manusia hanyalah empat jam sahaja. Sebagaimana Firman Allah SWT: “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat Tahajud dan amal-amal soleh); mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah As Sajdah: 16)

Kajian sosiologi mendapati masyarakat dan golongan yang sedikit tidur iaitu antara 3 hingga 5 jam lebih panjang umur mereka.


M) WAKTU LAPANG / SELINGAN

1. Berzikir Dan Beristighafar

Hendaklah kita berusaha mencari lailatul qadar kerana pahala beribadat pada malam ini adalah menyamai 1,000 bulan atau 84 tahun. (al-Qadr: 3)

Ini adalah bonus yang Allah bagi kepada umat Nabi Muhammad yang rata-rata umur mereka ialah sekitar 60 ke 70 tahun berbanding umat terdahulu yang usia mereka mencecah beribu tahun.

Malam ini pula dikatakan berlaku pada malam ganjil 10 terakhir Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Carilah lailatul qadar pada malam ganjil 10 malam terakhir.” (HR; Bukhari)

.

2. Menghadiri Majlis Ilmu/Membaca Buku-buku Ilmiah

Bagi mereka yang berkesempatan, boleh juga menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji kitab-kitab agama, sirah nabi dan sebagainya. Bagaimanapun, kita boleh juga membaca buku-buku akademik contohnya berkaitan sains dan teknologi. Yang penting ia memberi manfaat kepada diri dan masyarakat. Membaca buku-buku begini pun turut diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Tuntutan menghadiri majlis ilmu ini sejajar sunnah Rasulullah untuk amalan umatnya. Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Jadilah kamu orang yang berilmu atau orang yang belajar dan orang yang mendengar. Jangan kamu menjadi golongan yang keempat (bukan daripada tiga golongan), maka hendaklah kamu tinggalkan.”

.

3. Beriktikaf di Masjid atau Surau

Iktikaf adalah amalan baik yang amat disunatkan kepada umat Islam melakukannya. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Maksud iktikaf ialah mendampingi masjid, bertujuan untuk membersihkan hati dengan mengingati Allah dan taqarrub (berdamping) dengan Allah Yang Maha Pencipta dengan hati yang ikhlas.

Allah amat menyukai hamba-hamba-Nya yang sentiasa berusaha bertaqarrub kepada-Nya. Ia boleh dilakukan setiap kali berada di masjid iaitu semasa menunggu waktu solat Isyak misalnya, kita berniat beriktikaf. Dengan niat begini, kita sudah pun beroleh pahala.

.

4. Bersedekah

Lebihkan bersifat pemurah dan dermawan iaitu banyak memberi, bersedekah dan menolong. Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah membantu kariah surau/masjid menyediakan dan memasak makanan berbuka dan sahur atau mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.

Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”

Pada bulan Ramadhan ini, elok dilipat-gandakan amalan sedekah tanpa berkira-kira kerana sedekah merupakan amalan yang berterusan selagi harta itu dimanfaatkan. Janganlah kita sendiri kita campakkan diri kita ke lembah kebinasaan kerana kebakhilan kita sendiri.

.

.

Penutup

Ramadhan bukanlah bulan biasa. Ibadah umum seperti bekerja mencari rezeki dan belajar memang tidak boleh dihentikan namun biarlah kita cuba tambahkan ibadah khusus sedaya mungkin sebab Ramadhan ialah bulan ibadah, barakah dan makfirah.

Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, dimana Allah SWT memberikan kesempatan kepada orang-orang mu’min untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah SWT.

Alangkah ruginya andai kita langsung tidak mencuba untuk merebut peluang keemasan ini umpama sudah terhidang di depan mata tetapi masih enggan memanfaatkannya dan sudah diberi modal tetapi tidak mahu menggunakannya!

Pendek kata, rebutlah peluang Ramadhan yang ada kerana belum tentu kita akan bertemunya lagi pada masa akan datang. Pada waktu negara dalam keadaan yang masih lagi aman, manfaatkan keamanan ini dengan menambahkan amalan kita.

Moga-moga kita dapat mengecapi nikmat Lailatul Qadar dan Rahmat Allah Yang Maha Khaliq pada Ramadhan tahun ini . Amin!